Sejak mencipta nama dan membina kerjaya nyanyian di Amerika Syarikat, Yuna tidak lupa berkongsi berita-berita kepada peminat di Malaysia.

Terkini, penyanyi lagu popular, Dan Sebenarnya ini baru saja melancarkan album antarabangsa keempat yang bertajuk Rough.

Ekoran itu, tidak hairanlah dia menjadi bualan hangat warganet sejak semalam .

Topik yang dibualkan bukan saja tentang lagu dan album malah fasal wajah dan nama anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini dikatakan terpampang di bangunan polis New York.

Tenang. Yuna tidak melakukan mahupun terlibat dengan sebarang jenayah berat.

Sebetulnya, wajah dan nama Yuna dinaikkan di billboard bangunan Time Square yang terletak di tengah-tengah kota metropolitan tersebut sempena promosi albumnya.

Kebetulan bangunan tersebut berhampiran dengan banguan pihak berkuasa di situ.

Menerusi kemaskini dalam Instagram, dia turut memuat naik beberapa keping gambar dan video menunjukkan ‘iklan’ dirinya itu.

Hantaran tersebut mendapat komen pujian daripada warganet yang rata-rata mengucapkan tahniah dan bangga atas satu lagi kejayaan yang dicapai wanita ini.

Yuna, 32, mula menetap di New York sejak tahun 2011 dan membina karier muziknya di sana.

Yuna berkahwin dengan pengarah Malaysia, Adam Sinclair pada 26 Januari 2018 dalam satu majlis tertutup yang diadakan di Bentong, Pahang. – MHE TV

Iklan