Seorang ahli perniagaan dari Kuantan, Pahang menjadi pemilik tudung paling mahal di dunia.

Berharga RM50,000, tudung jenama Bawal Exclusive itu dihasilkan melalui kerjasama dengan jenama kristal antarabangsa, Swarovski.

Menurut Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri, tempahan yang dibuat melalui butik ByQiss by Bawal Exclusive milik Datin Hamizan Putih itu diterima pihaknya pada Februari lalu.

“Kami menghantar fabrik ke kilang Swarovski yang terletak di Austria. Mengambil masa selama tiga bulan, rekaan yang terdapat atas tudung ini juga adalah melalui pilihan pemilik sendiri.

“Memang ini merupakan tudung paling mahal di dunia dan kami sangat bangga apabila pemiliknya adalah seorang wanita yang berasal dari Kuantan,” kongsinya.

Inilah tudung Bawal Exclusive berharga RM50,000 yang ditempah seorang ahli perniagaan wanita berasal dari Kuantan.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai status pemilik tudung ini, Haliza bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci memandangkan ini adalah permintaan pelanggannya.

“Memang pemilik tudung paling mahal di dunia ini adalah pelanggan tetap jenama kami. Merupakan seorang ahli perniagaan yang berjaya, sebelum ini juga beliau pernah menempah tudung bernilai RM17,000.

“Berumur 35 tahun, tudung yang dibelinya ini juga tidak sekadar sebagai perhiasan memandangkan difahamkan beliau juga mahu tudung ini terus diwarisi dalam keluarganya,” kongsinya lagi. – MHE TV

Iklan