“Hanya Allah sahaja yang tahu risaunya saya sekarang. Haziq sedang bertarung dengan kesakitan. Tolonglah doakan,” luah Linda Eva kepada MHE TV sebentar tadi yang mengharapkan doa orang ramai terhadap anaknya, Muhammad Haziq Hasbullah.

Haziq, 19, terlibat dalam kemalangan ketika membonceng motosikal bersama rakannya di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur sewaktu dalam perjalanan ke Bukit Jalil, Jumaat lalu.

Haziq kini masih dirawat di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan keadaannya dilaporkan kurang stabil.

Justeru Linda, bekas bekas anggota kumpulan Eva ini tidak putus-putus berdoa agar anaknya terus diberikan kekuatan berhadapan dengan dugaan ini.

“Semenjak masuk hospital pada hari kejadian, Haziq sudah menjalani pembedahan sebanyak dua kali di bahagian kaki kanannya kerana masalah saluran darah yang pecah akibat kemalangan.

“Selepas ini akan ada lagi beberapa pembedahan susulan di bahagian tersebut. Saya tidak boleh mendedahkan secara terperinci kerana tidak mahu mengganggu fikiran Haziq yang sedang fobia.

“Ibu mana yang tidak sedih apabila melihat fikiran dan emosi anak yang terganggu kerana memikirkan keadaan dirinya.
“Sedih melihat keadaannya tetapi saya tidak boleh berbuat apa-apa melainkan usaha doktor dan doa daripada semua,” jelas Linda Eva.

Pohon Eva juga, dia berharap sesiapa yang datang melawat Haziq agar dapat bercakap hal-hal yang positif sahaja.

“Kalau boleh, janganlah diungkit hal berkaitan kemalangan kerana saya tidak mahu dia bersedih. Kepada yang datang melawat, berbuallah perkara yang membuatkan dia gembira dan kembali bersemangat,” kata Linda dengan sayu.

Sebelum ini, Haziq juga pernah terbabit dalam kemalangan dua tahun lalu yang berpunca daripada motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori yang di parkir bahu jalan.

Kesan kemalangan itu Haziq mengalami kecederaan di paru-paru, retak tulang tengkuk dan patah tulang rusuk. – MHE TV

Iklan