Bersempena dengan Konsert Laksamana Metal 2019 Dua Generasi, Wings x Bunkface yang bakal dijayakan Sabtu ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie menjanjikan kelainan dalam skala besar.

Awie yang juga bertindak selaku penganjur konsert menerusi syarikatnya, Awie Entertainment Sdn Bhd berkata, Wings menjanjikan kelainan dalam konsert kali ini bagi menghargai sokongan peminat sejak mereka menceburkan diri dalam industri 34 tahun lalu.

“Untuk persediaan konsert kali ini kami sangat bekerja keras. Kalau selalunya kami akan berlatih selama empat jam namun untuk konsert ini kami berlatih lebih daripada empat jam sehari bagi memastikan semuanya berjalan lancar.

“Konsert ini merupakan siri pertama perjalanan Konsert Wings ke arah 35 tahun dan pada peringkat seterusnya ia akan dilaksanakan di seluruh Malaysia.

“Untuk permulaan kami muncul dengan konsert bersama Bunkface. Selepas ini banyak lagi band-band Malaysia yang ternama akan bersama kami di lokasi konsert lain pula. Mungkin kami akan menyanyikan lagu mereka dan mereka menyanyikan lagu kami. Itu semua mungkin terjadi sebagai satu kejutan kepada penonton,” jelas Awie.

Menurut Awie, walaupun konsert ini berkonsepkan rock dan metal namun dia mahu menerapkan akar umbi orang Melayu dalam persembahan yang dijayakan mereka nanti.

“Kami akan mengenakan pakaian ini di atas pentas untuk menunjukkan kita adalah anak Melayu walaupun memainkan irama dan muzik yang dipinjam budaya lain dan mencabar penonton untuk hadir berpakaian seperti kami. Kami tidak memaksa, siapa yang berani silakan. Mungkin ada sesuatu menanti anda.

“Selain busana, kami juga akan tampil dengan set pentas yang sangat unik dan istimewa. Tujuan kami membuat kelainan ini adalah kerana mahukan sesuatu yang berbeza dengan konsert-konsert sebelum ini,” ujar Awie.

Pada mereka yang masih belum mendapatkan tiket, ia boleh didapati dengan harga RM150 dan RM450 (akses ke sesi soundcheck) boleh didapati dengan melayari laman Instagram @sayap2wings dan Facebook Sayap-sayap Wings atau hubungi hotline 019-7082871. -MHE TV

Iklan