Biasa kita dengar kata-kata, rambut adalah mahkota wanita. Si supermodel cilik ini membuktikan seawal usia setahun dia bukan saja berjaya mencuri perhatian dunia dengan rambutnya malah dah boleh buat duit!

Lapan bulan selepas namanya tular kali pertama gara-gara gaya rambut kembang dan mencetus inspirasi ramai, bayi comel kelahiran Jepun bernama Chanco ini sekali lagi menjadi bualan seantero dunia.

Masih dengan perihal rambutnya, bayi Chanco dipilih sebagai model iklan Jepun untuk jenama syampu terkenal Pantene menerusi kempen #HairWeGo.

Sekaligus dia boleh digelar supermodel paling comel pertama dalam sejarah pengiklanan syampu. Sebelum ini selebriti Selena Gomez, Priyanka Copra Ronda Rousey dan Maya Karin antara model dan ikon global bagi produk penjagaan rambut tersebut.

Pada 22 Disember lalu, Pantene Japan memuat naik video berjudul The Hairy Tale yang menceritakan kisah rambut Chanco dari sudut pandangan mereka.

Dalam video itu narator berkata,

“Walaupun saya berada di perut mama saya, banyak rambut yang tumbuh.”

“Mama saya jatuh cinta dengan rambut saya. Dia sentiasa memberitahu betapa comelya saya,” tambah suara itu mewakili baby Chanco.

Pada 7 Januari lalu, Chanco secara rasmi membuat penambilan debut bersama personaliti TV Jepun berusia 50 tahun, Sato Kado yang terkenal dengan rambut elegan kelabunya menerusi iklan bertema “jadilah positif dan mulakan dengan rambut kita”.

Dilahirkan pada 23 Disember 2017, Chanco mempunyai lebih 300,000 pengikut di Instagram sejak foto pertamanya dengan rambut hitam bersinar dimuat naik oleh ibunya, Mami Kano.

Ditanya sama ada dia akan memotong rambut anak perempuannya, Kano berkata: “Saya lebih suka menjaga rambutnya dan pada masa akan datang saya ingin mencuba beberapa dandanan baharu seperti rambut pengantin.”

Berkongsi rahsia menjaga rambut anak perempuannya, Kano berkata, “Berus dan biarkan dia hidup seperti dirinya,” – MHE TV

Iklan