Pelakon Fizo Omar berkongsi pengalaman kesukaran memulakan hidup dalam industri seni bersama rakannya, Kamal Adli.

Menerusi perkongsian terbaharu dalam laman Instagram miliknya, Fizo memberitahu mereka banyak berkongsi suatu ketika dahulu.

“Mengenali Kamal Adli pada tahun 2007 di pentas Hero Remaja. Ketika itu pasukan bola saya dibubarkan dan saya mengalami masalah kewangan. Saya tidak tahu hendak buat apa untuk terus hidup di Kuala Lumpur.

“Banyak cerita bersama Kamal. Zaman tiada duit, telur goreng sebiji pun boleh potong dua. Janji sama-sama boleh merasa. Kami pergi uji bakat lakonan menaiki motor skuter atau berkongsi duit naik kereta Kancil yang pernah jadi kebanggaan saya.

“Baju dan seluar memang kongsi. Apa yang boleh kongsi dan jimat duit. Perkara yang tidak boleh saya lupa ialah potong rambut Kamal dalam tandas. Tidak tahu gaya apa. Boleh tahan handsome sebab dia menang nombor satu dan saya nombor dua.

“Budak Kelantan dan budak Pahang baru masuk industri. Syukur tawaran berlakon, model dan pengacara semuanya kami terima asalkan halal.

“Kebelakangan ini saya perlahan sedikit dalam bidang glamor sebab fokus pada perniagaan dan sambung belajar.

“Teringin tengok kawan baik saya ini jadi hero pujaan ramai, tetapi rezeki Allah beri apa yang sesuai dengan kita sebenarnya.

“Kau begitu komited sehingga berjaya sekarang membantu keluarga,” tulis Fizo pada ruangan kapsyen gambar dia bersama Kamal.

Entri itu juga mendapat respon Norman Hakim yang merupakan senior mereka dalam pertandingan Hero Remaja.

“Ketika pertandingan akhir Hero Remaja, sayalah yang menjadi ketua juri. Pening kepada nak pilih pemenang. Kamal akhirnya menang dengan kelebihan satu mata.

“Kedudukan tidak penting. Apa yang lebih utama adalah sumbangan kepada masyarakat. Tahniah anda berdua,” tulis Norman. – MHE TV

Iklan