SIAPAKAH pengganti bekas suami?  Apa kah dalam diam-diam,  sudah ada yang menunggu atau melafazkan hasrat hati  kepada  ZIANA ZAIN, 50,  yang baru selesai  tempoh edah, 12 Oktober baru-baru ini?

Kalaulah itu menjadi persoalan atau perhatian sekeliling terhadap penyanyi dan pelakon manis jelita ini ,  katanya  dirinya  sedang  diulit bahagia.

“ Macam yang saya katakan sebelum ini, kehidupan mesti diteruskan. Tak perlu menoleh ke belakang lagi untuk memikirkan  kisah  yang dah berlalu.  Kali terakhir bertemu dengan bekas suami ketika di mahkamah hari itu sewaktu menyelesaikan kes perceraian.

“ Dan kalau ada perkara susulan lain-lain, itu akan dibincangkan antara peguam tanpa perlu saya kongsikan dengan semua.

“Namun ingin saya tegaskan, habis tempoh edah perceraian,  bukan bererti  saya perlu memikirkan pasangan atau lelaki dalam hidup.

“Kalau ada yang berharap atau menunggu , maaf… ingin saya beritahu, saya bukan jenis mudah melayan perkara –perkara begini. Jangankan sekarang, sejujurnya, sejak dulu, saya bukan jenis yang mudah jatuh hati atau menerima cinta.

‘Saya langsung tak memikirkan soal ingin bercinta lagi. Dunia dan keutamaan saya, tentunya, anak-anak. Merekalah penghibur hati dan yang membuat saya bahagia pada waktu ini. Saya tidak rasa beban untuk  bekerja. mencari rezeki dan  membesarkan mereka.

“Hidup tak pernah sunyi  menjaga empat orang  anak  ( sulung berusia  18 tahun, kedua 15 dan kembar 9). Kasih sayang, fokus dan tumpuan tak lekang untuk mereka.. Saya seperti  ibu-ibu lain yang menjadikan anak-anak adalah permata hati.

“Siang dan malam, saya berdoa untuk anak-anak selain diri dan keluarga. Saya mahu terus  menjalani kehidupan ceria dan bahagia  dengan anak-anak,” akui Ziana Zain yang tidak mahu memikirkan soal  pasangan dalam hidupnya buat waktu ini.

PRIVASI

DALAM pada itu, Ziana Zain, berharap  semua orang menghormati privasinya dengan anak-anak.

” Walaupun menjadi tumpuan kerana saya seorang artis,  saya berharap ramai  dapat memahami, mengapa  saya tak perlu diajak bergambar dengan anak-anak untuk publisiti.

“Saya suka cara Datuk Rosyam Nor, anak-anak bukan artis dan mereka tidak perlu terdedah sebagaimana orang tuanya yang  dikenali ramai.

“Sebelum ini, sesekali, ada saya berkongsi gambar anak-anak namun sekarang saya rasa ada baiknya ketika saya di luar  rumah menjayakan pertunjukan atau  menjalani fotografi kerana kerja, anak-anak tak perlu  dibawa bersama. Mereka perlukan kehidupan mereka yang tak terdedah.

“Saya berterima kasih apabila pihak media memahami  ruang privasi saya. Begitu juga peminat yang menghormati ketika melihat saya di luar dengan anak-anak tidak meminta bergambar bersama-sama mereka.”

Menyentuh perkembangan terkini, Ziana Zain sedang dalam proses dengan projek single terbaharu. Kali terakhir merakamkan album ketika tahun 2001. Kali terakir di pentas  Anugerah Juara Lagu pula ketika bertanding untuk lagu Dingin.

“Waktu itu mengandungkan si kembar…usia dua bulan. Memang dah lama tak buat album, Insya Allah doa-doakan, tahun depan yang dirancang menjadi,” tambahnya.

Iklan